Syafaat Selepas Syafaat Rasulullah SAW

May032013

Syafaat Selepas Syafaat Rasulullah SAW

muhammad.jpg

Syafaat Rasulullah SAW yang pernah dijelaskan sebelum ini bagaikan kunci yang membuka jalan kepada hamba-hamba Allah SWT yang lain untuk memberanikan diri bagi memberi syafaat kepada sesiapa yang mereka kehendaki. Satu persatu para nabi, malaikat, syuhada (orang yang mati syahid) dan ulama memberanikan diri menghadap Allah SWT, lalu meminta agar orang yang mereka kenali dikeluarkan dari Neraka. Bahkan orang biasa dalam kalangan kaum Mukminin yang telah selamat dari Neraka juga menghadap Allah SWT dan meminta izin untuk memberi syafaat.

Allah SWT berkenan menerima sebahagian syafaat itu dan menolak sebahagian yang lain sesuai dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya. Namun, yang pasti setiap orang tidak akan dikeluarkan dari Neraka sebelum ia menghabiskan masa seksaan yang telah Allah SWT tentukan sebagai balasan atas dosa-dosa yang pernah mereka lakukan di dunia.

Syafaat Malaikat

Pelbagai ayat dalam al-Quran menetapkan bahawa para malaikat muqqarrabun (yang sangat dekat dengan Allah SWT) selalu beristigfar untuk orang beriman di dunia dan juga memberi syafaat terhadap mereka di Akhirat dengan keizinan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah an-Najm (53) ayat 26 yang bermaksud, "Dan berapa banyak malaikat di langit, yang syafaat mereka sedikit pun tidak berguna, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredhai-Nya."

Al-Syeikh al-Akbar Muhyiddin Ibn 'Arabi (w. 638H) dalam kitabnya al-Futuhat al-Makkiyyah berkata, "Syafaat malaikat ini khas untuk orang yang melakukan maksiat namun masih memiliki akhlak yang mulia."[1]

Kita sering menemui orang seperti ini dalam hidup kita. Mereka malas beribadah kepada Allah SWT, namun sikapnya kepada manusia sangat sopan dan lembut. Kadangkala mereka lebih sopan daripada sesetengah orang yang rajin melakukan ibadah ritual.

Maka, jika ia seorang Muslim, ia berpeluang untuk keluar daripada seksa Neraka setelah lama berada di dalamnya dengan syafaat malaikat.

Syafaat al-Quran dan Amal Soleh

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari Kiamat sambil memberi syafaat terhadap pembacanya. Bacalah dua surah yang sangat terang (al-zahrawain) iaitu al-Baqarah dan Ali 'Imran. Sesungguhnya kedua-dua surah ini akan datang pada hari Kiamat bagaikan awan atau bagaikan sekumpulan burung lalu membela orang yang membacanya."

Para ulama mentafsirkan hadis ini bahawa Allah SWT akan menciptakan malaikat sebagai wakil al-Quran untuk membela pembacanya daripada seksaan Neraka. Imam Abu Abdillah al-Qurtubi berkata, "Demikianlah, Allah menciptakan dua malaikat sebagai balasan atas amalan membaca al-Quran dan berpuasa, lalu kedua-duanya memberi syafaat kepada orang yang melakukan ibadah ini. Begitu juga seluruh amal soleh yang lain."[2]

Syafaat Para Nabi, Ulama dan Syuhada

Dalam hadis riwayat daripada Usman bin 'Affan, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya,

"Tiga kelompok manusia yang akan memberikan syafaat pada hari Kiamat, iaitu para nabi, kemudian ulama, kemudian syuhada." (Riwayat Ibnu Majah)

Tugas utama seorang nabi di dunia memang menyelamatkan manusia daripada seksaan Neraka. Oleh itu, sejak awak lagi semua nabi selalu mengingatkan manusia akan wujudnya Akhirat, mengajarkan hukum-hakam dengan hikmah dan berusaha membawa mereka kepada redha Allah SWT. Maka pada hari Kiamat nanti, Allah SWT mengizinkan setiap nabi memberi syafaat kepada umatnya sebagai penyempurna tugasan tersebut.

Begitu juga dengan para ulama pewaris tugasan nabi, yakni menyelamatkan manusia daripada kemurkaan Allah SWT. Cara dakwah seorang ulama mungkin berbeza antara satu sama lain, namun tujuan mereka tetap sama.

Imam al-Qurtubi berkata, "Oleh sebab para ulama telah menyumbang tenaga dengan menghabiskan usia mereka untuk ilmu dan dakwah, maka Allah SWT akan memuliakan mereka di Akhirat dengan menempatkan mereka di maqam Ihsan dan mengizinkan mereka untuk memberi syafaat kepada orang yang dikehendaki."

Maqam seorang ulama tidak sama dengan ulama yang lain. Sesetengah mereka berjaya menarik ribuan orang ke jalan Allah SWT, sementara sesetengah yang lain hanya mampu menarik puluhan atau seorang dua sahaja.

Maka pada hari pembalasan ini, setiap ulama diberikan hak syafaat sesuai dengan usaha mereka di dunia.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesunggunya daripada umatku akan ada seseorang yang dapat memberi syafaat kepada satu bangsa, ada yang memberi syafaat kepada satu kabilah, ada yang memberi syafaat kepada satu kelompok dan ada yang memberi syafaat kepada satu orang sahaja sehinggalah mereka masuk Syurga."[3]

Sementara para syuhada (jamak daripada syahid), ialah orang yang telah mengorbankan semua yang dimiliki, termasuk nyawa untuk meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi. Golongan ini juga diperkenankan memberi syafaat. Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang syahid dapat memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud)

Syafaat seorang syahid diutamakan untuk ahli keluarganya (amal, isteri, orang tua, saudara-mara dan lain-lain) kerana mereka inilah orang yang paling besar menanggung kesedihan atas kematian dirinya. Maka di Akhirat nanti, Allah SWT akan mengubati kesedihan duniawi ini dengan kegembiraan abadi kerana syafaat syahid ini yang menyelamatkan mereka daripada seksaan Neraka.

Syafaat Saudara Muslim

Atas keluasan rahmat-Nya, Allah SWT membuka kesempatan kepada setiap Muslim untuk memberi syafaat kepada Muslim yang lain. Dalam hadis panjang daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bercerita tentang peristiwa yang akan berlaku di Akhirat nanti. Baginda SAW bersabda, maksudnya:

"Setelah kaum Mukminin selamat dari Neraka, maka demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, setiap orang daripada mereka meminta kepada Allah dengan memaksa agar dikeluarkan rakan-rakan mereka dari Neraka. Mereka berkata: 'Ya Allah, mereka dahulu pernah berpuasa, solat dan menunaikan haji bersama kami.' Lalu dikatakan kepada mereka: 'Keluarkanlah orang yang yang kamu kenal dari Neraka itu.'" (Riwayat Muslim)

Masya-Allah, persahabatan yang terjalin di jalan Allah SWT berlanjutan hingga ke Akhirat. Teman-teman yang pernah bersama kita melaksanakan solat berjemaah, umrah atau haji bersama, suatu hari nanti dapat mengeluarkan kita dari api Neraka. Semakin banyak teman yang kita ada, semakin besar peluang untuk kita memperoleh syafaat itu.

Hadis ini merupakan sebuah motivasi agar kita memperbanyakkan teman dan kenalan. Jalinlah hubungan baik dengan kaum Mukmin di sekitar kita, lalu berusahalah menyebarkan kebaikan kepada mereka. Kita tidak pernah tahu apa yang menimpa kita di Akhirat nanti. Jika ternyata kita harus masuk ke Neraka, maka kebaikan sekecil mana pun yang pernah kita lakukan di dunia akan berguna untuk mengeluarkan kita daripada seksaan Neraka.

Dalam Sunan Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Pada hari Kiamat, ahli Syurga dan ahli Neraka berbaris-baris. Seorang ahli Neraka melewati di hadapan seorang ahli Syurga lalu ia berkata kepadanya, 'Wahai polan, ingatkah engkau, suatu ketika dahulu engkau pernah meminta air, lalu aku memberi kepadamu? Ahli Syurga itu lalu memberikan syafaat kepadanya. Seseorang yang lain berkata kepada ahli Syurga yang lain, 'Ingatkah engkau, suatu ketika aku pernah membantumu dalam urusan bersuci?' Ia lalu memberi syafaat kepadanya."

Orang yang selalu mengelak dirinya daripada orang lain dan sukar didekati, tidak akan mendapat syafaat ini. Apatah lagi orang yang berakhlak buruk sehingga suka melaknat, menyumpah dan memperlekeh orang lain. Lebih buruk lagi, jika ia suka melaknat dan memperlekeh orang yang sudah mati sejak ratusan tahun yang lalu. Orang ini tidak akan mendapat syafaat dan juga tidak dapat memberi syafaat. Hal ini kerana sejak di dunia ia telah memutuskan hubungan antara dirinya dengan kaum Mukminin.

Nabi SAW bersabda, maksudnya:

Orang yang suka melaknat tidak akan menjadi saksi atau pemberi syafaat di Akhirat. (Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi menjelaskan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim dengan berkata, "Laknat (sumpahan) ialah doa yang dimaksud agar orang lain dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Doa seperti ini bukanlah akhlak orang Mukmin yang disifatkan sebagai golongan yang saling mencintai, saling membantu dalam kebaikan dan takwa, saling membina seperti satu bangunan yang kukuh dan seperti satu tubuh. Seorang Mukmin mencintai saudaranya apa yang ia cintai akan dirinya. Melaknat orang lain merupakan petanda puncak kebencian dan putus hubungan."

Semoga sifat yang sangat buruk ini dijauhkan daripada diri kita dan juga daripada keluarga dan teman-teman kita supaya dengan itu akan tercipta persekitaran Muslim yang lebih selesa untuk dinikmati bersama. Kebencian hanya akan membawa kerosakan kepada hidup kita.

Zat yang Paling Pengasih

Setelah semua makhluk selesai memberikan syafaat mereka kepada ahli Neraka, Allah SWT berfirman, mafhumnya:

"Para malaikat telah memberikan syafaat, para nabi juga telah memberikan syafaat, dan kaum Mukminin telah memberikan syafaat. Tidak ada yang tertinggal melainkan Arhamurrahimin (Allah yang paling pengasih daripada semua pengasih)

Allah SWT lalu mengambil segenggam daripada ahli Neraka, maka dikeluarkan daripadanya sekelompok orang yang belum pernah melakukan kebaikan walaupun sedikit. Mereka telah menjadi seperti arang (kerana terlalu lama berada di Neraka). Lalu, mereka dicampakkan ke dalam sungai yang terletak di mulut Syurga, yang bernama, "sungai kehidupan."

Orang ini lalu segar kembali bagaikan rerumput di tepi aliran air. Mereka keluar dari sungai itu bagaikan permata, di leher mereka ada cap (khatam). Allah SWT lalu berkata, "Masuklah kamu ke Syurga. Apa yang kamu lihat akan menjadi milikmu." Mereka berkata, "Ya Allah, Engkau telah memberi kami suatu pemberian yang tidak pernah diberikan kepada makhluk-makhluk lain."

Allah SWT berkata lagi, "Di sisi-Ku masih ada yang lebih baik lagi daripada itu semua."

Mereka bertanya, "Wahai Tuhan kami, apakah itu?" Allah berfirman, "Redhaku. Aku tidak akan murka lagi kepada kamu selama-lamanya."[4]

Menurut Imam al-Qurtubi, orang-orang yang dikeluarkan dengan syafaat Allah SWT ini berbeza dengan mereka yang keluar dengan syafaat-syafaat sebelumnya. Orang-orang yang terakhir ini tidak memiliki amal soleh selain secebis iman yang berada di dalam dada mereka.[5]

Maha Suci Allah, zat yang Maha Pengasih kepada seluruh hamba-Nya. Wallahu a'lam.

_______________
Catatan Kaki:
1. Dinukil dalam al-Yawaqit wa al-Jawahir, op. cit., jilid 2, hal. 614.

2.Al-Tazkirah, op. cit., jilid 2, hal. 38.

3. Riwayat at-Tirmizi, kitab Sifat al-Qiyamah no. 2440. Beliau berkata: "Hadis hasan."

4. Riwayat Muslim, kitab al-Iman no. 454.

5. Al-Tazkirah, op. cit., jilid 2, hal. 36-37.

Share on Facebook Share on Twitter

Comments

No comments yet. Why not make the first one!

New Comment

[Sign In]
Name:

Email:

Comment:
(Some BBCode tags are allowed)

Security Code:
Enable Images


 
Back to top